fb fb fb fb fb

Sabah komited lestarikan khazanah budaya etnik

Festival Kebudayaan Rungus Sabah 2025

MATUNGGONG, 6 Julai- Kerajaan Negeri Sabah komited melestarikan khazanah budaya etnik di negeri itu khususnya warisan seni dan adat resam unik yang mempunyai nilai tradisi sesuatu kaum.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha memulihara budaya pelbagai etnik penting untuk memastikan identiti negeri itu terus dipertahankan dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

"Kerajaan negeri akan terus menyokong dan membantu pertubuhan etnik dalam usaha menjaga hal ehwal adat istiadat, seni dan budaya masing-masing.

"Budaya bukan sekadar khazanah sejarah, tetapi juga aset pembangunan yang perlu dipertahankan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Kebudayaan Rungus Sabah 2025 di Pusat Kebudayaan Rungus Sabah, Jalan Teringai, di sini.

Budaya dan warisan etnik seperti masyarakat Rungus bukan sekadar nilai tradisi, malah merupakan aset penting perpaduan dan daya tarikan pelancongan.

Ia juga menyemai semangat jati diri dan kebanggaan dalam kalangan generasi muda.

Sementara itu Datuk Seri Hajiji memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan menaik taraf Daerah Kecil Matunggong kepada daerah penuh, tertakluk kepada kajian kelayakan yang dilaksanakan pihak berwajib.

"Kerajaan mendengar aspirasi rakyat Matunggong dan akan meneliti aspek keperluan serta kesediaan infrastruktur sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan," katanya lagi.

Pada masa sama beliau turut menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan padu kepada Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Banyak usaha telah dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan GRS demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri Sabah.

"Kita ada pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang jelas, yang memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh dan pembelaan nasib rakyat," katanya.

Kestabilan politik dan sokongan berterusan daripada rakyat amat penting bagi memastikan segala dasar, program dan inisiatif kerajaan dapat diteruskan tanpa gangguan demi kemajuan negeri dan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

"Jangan kita berundur ke belakang. Teruslah bersama kerajaan GRS yang telah membuktikan komitmen dan kemampuan membela rakyat serta membangunkan negeri secara inklusif," tegasnya.

Datuk Seri Hajiji turut memuji usaha Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (PRBS) yang terus menganjurkan Festival Kebudayaan Rungus secara konsisten sebagai platform memperkenalkan dan mempromosikan budaya suku kaum Rungus.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI