fb fb fb fb fb

Feri karam di Selat Bali : Kedutaan Malaysia bekerjasama dengan Indonesia

Pihak berkuasa Indonesia melakukan operasi mencari dan menyelamat di Selat Bali/ REUTERS

KUALA LUMPUR, 6 Julai- Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesahkan laporan terbaharu yang mendakwa kemungkinan terdapat seorang warganegara Malaysia dalam tragedi feri karam di Selat Bali.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh, termasuk proses pengesahan identiti mangsa-mangsa terlibat dalam insiden tersebut.

"Pada peringkat awal, pihak berkuasa Indonesia memaklumkan bahawa tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat.

"Namun, maklumat terbaharu yang diterima menimbulkan kemungkinan sebaliknya, sekali gus mendorong Kedutaan Malaysia untuk meningkatkan koordinasi dengan Jabatan Konsular dan pihak berkuasa tempatan," menurut kenyataan itu.

Wisma Putra memaklumkan bahawa pihak kedutaan telah bertindak segera sejak kejadian berlaku, dan komitmen diberikan untuk terus memantau situasi dari semasa ke semasa, termasuk menyediakan bantuan konsular diperlukan sekiranya pengesahan penglibatan rakyat Malaysia diperoleh.

Setakat ini, pihak berkuasa Indonesia masih menjalankan operasi mengenal pasti mangsa serta meneliti semua aspek berkaitan kejadian bagi menentukan punca sebenar tragedi.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan mengikuti maklumat sahih yang akan dimaklumkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI