MALIM NAWAR, 2 Mei - Kerajaan Negeri Perak terus komited meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan transaksi tanpa tunai menerusi penganjuran Cashless Carnival Perak 2025, sebagai langkah menyokong aspirasi 'Cashless Society' dan ekonomi digital tempatan.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu dilihat seiring dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 dalam memperkasa pendigitalan dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak, Azlan Helmi berkata, program seperti ini mampu mendidik masyarakat khususnya golongan pertengahan usia dan warga emas yang masih belum terbiasa dengan kaedah pembayaran digital.
“Anak-anak muda kita memang sudah biasa dengan pembayaran tanpa tunai tetapi bagi golongan pertengahan dan warga emas, mereka masih dalam proses menyesuaikan diri. Jadi, usaha MCMC dan rakan pelaksana seperti NADI ini sangat tepat dan menyokong hasrat menteri besar dalam menjayakan Perak Sejahtera 2030,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Cashless Carnival Perak 2025 yang berlangsung di Dewan Arena Tualang Sekah, Malim Nawar, hari ini.
Sehingga Mei 2025, sebanyak 27 program Cashless@NADI telah dijalankan di seluruh negeri dengan 3,216 transaksi tanpa tunai direkodkan.
Selain itu, seramai 141 peniaga berjaya mendaftar secara digital melalui inisiatif ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa program tersebut akan terus diperluas ke daerah-daerah lain di seluruh negeri menerusi kerjasama lebih pelbagai agensi.