KUANTAN, 7 Februari- Seorang pelajar yang kini sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditemukan lemas di Air Terjun Sungai Pandan, Panching, Kuantan, Pahang.
Ketika kejadian, mangsa Muhammad Irfan Mohd Shafie 18 tahun, dipercayai sedang mandi bersama rakan-rakannya tengah hari tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata, mayat mangsa ditemui pada kedalaman kira-kira 4.5 meter di air terjun terbabit pada pukul 4.06 petang tadi.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan dibawa arus dan tenggelam di kawasan kolam semula jadi berhampiran kawasan air terjun.
Seorang pengunjung yang menyedari kejadian itu segera menghubungi bomba kira-kira jam 2:48 petang tadi.
Seramai 15 anggota dan pegawai bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas, BBP Kuantan serta BBP Pekan termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) ke lokasi sejurus menerima laporan.
Pasukan bomba kemudian melakukan operasi pencarian 'surface searching' dan menggunakan 'grappling iron' di lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Selepas ditemukan, pegawai perubatan di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia dan mayat mangsa diserah kepada polis dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk tindakan lanjut.