fb fb fb fb fb

Calon bertanding UMNO, patuhi etika sebagai Ahli Parti, bertanding secara harmoni - Shahrir

KUALA LUMPUR, 2 Februari - Calon-calon yang bakal bertanding pada Pemilihan UMNO diingatkan untuk mengamalkan corak kempen yang sihat sebagai menjaga keharmonian keluarga UMNO.

Menurut pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, calon-calon dinasihatkan untuk meneliti peraturan Pemilihan UMNO seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti.


(Pengerusi UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad / Foto Bernama)

“Majlis Kerja Tertinggi memutuskan bahawa tempoh berkempen ialah pada 1 Februari 2023 sehingga 19 Mac 2023. Saya harap semua calon di pelbagai peringkat meneliti segala peraturan dan perkara dalam tata etika ahli UMNO dan patuh kepada perkara tersebut.

“Ini nasihat kami bahawa tata etika ahli UMNO merupakan garis panduan dari segi kelakuan, keputusan, tingkah laku setiap calon sebab itu sebagai harus rujuk dan faham supaya tidak langgar perkara tersebut.

“Sepanjang kempen Pemilihan UMNO 2023, antara larangan-larangan iaitu Majlis Perasmian Berkelompok di semua peringkat terutama Cawangan adalah dilarang bermula 1 hingga 26 Februari 2023.

“Semua Ketua (empat peringkat) di peringkat Cawangan dan semua Ketua (empat peringkat) di Bahagian dilarang berucap sebelum proses Pemilihan dan Pengundian dijalankan. (Sila rujuk Pekeliling Agenda Persidangan / Mesyuarat Perwakilan yang telah diluluskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO),” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau turut mencadangkan pindaan dilakukan oleh MKT UMNO untuk membolehkan calon-calon dalam Pemilihan UMNO ini untuk berkempen menerusi media massa dan media sosial.

“Kita sedar bahawa tempoh berkempen begitu singkat dan adanya larangan-larangan dalam tata etika ahli UMNO yang menyusah dan menyempitkan cara calon untuk berkempen.

“Jadi kita sudah syorkan kepada MKT supaya diberikan kelonggaran dalam berkempen menggunakan media massa dan media sosial tetapi hanyalah untuk menyokong calon dengan syarat tidak menfitnah, mengata dan mengeji mana-mana calon serta tidak melanggar Perkara 5.3 Tata Etika Ahli UMNO,” katanya.

Tambahnya bahawa sebarang aduan membabitkan salah laku sepanjang tempoh berkempen hendaklah dilaporkan kepada Lembaga Disiplin UMNO pada kadar segera.

“Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) berharap semua pihak yang terlibat dalam pemilihan UMNO 2023 akan memberikan Kerjasama dan sokongan seta mematuhi peraturan dan larangan demi memastikan proses pemilihan UMNO dapat berlangsung dengan sempurna,”katanya.

Pada masa sama, Shahrir memaklumkan Badan Perhubungan UMNO Negeri-negeri dan Bahagian-bahagian dibenarkan mengadakan sesi pengenalan calon yang bertanding sebagai pemaklumkan kepada ahli akar umbi.

Untuk rekod, Majlis Kerja Tertinggi telah melantik Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai Pengerusi JPU 2023 dan Datuk Mustapha Yaakub sebagai Setiausaha JPU.

Antara tanggungjawab JPU adalah melaksana, mengawal, menyelia dan memantau pemilihan jawatan-jawatan peringkat bahagian dan pusat supaya ia dijalankan dengan sempurna mengikut sistem yang telah dipersetujui serta memastikan Perlembagaan UMNO, Peraturan Persidangan dan Tataetika Ahli UMNO dipathi sepenuhnya oleh semua pihak terlibat dalam pemilihan UMNO.

JPU bertanggungjawab menyelaras pendaftaran calon yang bertanding, menguruskan taklimat dan penerangan mengenai peraturan pemilihan serta mengesahkan keputusan pemilihan di peringkat pusat dan bahagian termasuk peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri sebelum diumumkan oleh Pengerusi Tetap. – UMNO Online

Media Baharu