fb fb fb fb fb

Caj perlindungan 'scam' RM10, MCMC siasat kewajaran tindakan syarikat telekomunikasi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/BERNAMA

PUTRAJAYA, 14 November- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan mendapatkan penjelasan daripada syarikat telekomunikasi yang didakwa mengenakan caj RM10 sebulan bagi perkhidmatan perlindungan scam atau penipuan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata penjelasan itu perlu bagi meneliti kewajaran caj yang dikenakan syarikat berkenaan terbabit.

"Saya belum meneliti laporan tersebut. Saya akan mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengenal pasti syarikat perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat, mendapatkan penjelasan rasmi daripada mereka dan meneliti kewajaran serta aspek-aspek yang dimaksudkan dalam laporan tersebut," katanya pada sidang media mingguan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan persatuan pengguna dan pakar komputer menyelar tindakan sebuah syarikat telekomunikasi mengenakan caj RM10 sebulan bagi perkhidmatan perlindungan scam sambil menyifatkannya sebagai tidak wajar dan bercanggah dengan tanggungjawab asas syarikat telekomunikasi terhadap keselamatan pengguna.

Mereka berpendapat keselamatan asas seperti perlindungan daripada panggilan serta mesej penipuan sepatutnya ditanggung penyedia perkhidmatan, dan bukan dijadikan sumber keuntungan baharu.

Isu itu turut menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat yang berpendapat keselamatan pelanggan perlu menjadi keutamaan syarikat telekomunikasi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM