fb fb fb fb fb

Pencapaian cemerlang UPSRA 2025: GPS 1.86 direkodkan

Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Kamaldin Mohd Damin ketika ditemui pemberita di ibu negara

KUALA LUMPUR, 14 November -Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) 2025, di Wilayah-Wilayah Persekutuan mencatat pencapaian yang memberangsangkan apabila mencatatkan kadar kelulusan keseluruhan 96.02 peratus bagi semua mata pelajaran.

Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Kamaldin Mohd Damin berkata UPSRA tahun ini turut merekodkan Gred Purata Skor (GPS) 1.86.

Katanya, peratus kelulusan keseluruhan meningkat sebanyak 1.36 peratus berbanding pencapaian pada tahun 2024.

"Kita lihat tahun ini kita ada peningkata subjek-subjek berkenaan walaupun ada subjek yang menurun, satu cabaran kepada kami lah. Kami fokus kepada isu kemahiran pelajar sendiri yang mementingkan pencapaian secara keseluruhan. Bagaimanapun kami akan jadikan pencapaian peperiksaan ini merupakan satu cabaran kepada kami untuk pastikan mata pelajaran yang kurang tadi tu akan ditambah baik," katanya kepada pemberita, di sini.

Tambahnya analisis keputusan menunjukkan Projek Berasaskan Sekolah mencatatkan kelulusan tertinggi iaitu 100 peratus, diikuti Al-Quran dan Hafazan serta Tajwid.

Bagi pencapaian individu, seramai 812 calon memperoleh sembilan Mumtaz.

Seramai 9,410 calon dari 215 institusi berdaftar menyertai UPSRA 2025, dengan 9,327 calon hadir menduduki peperiksaan.

Dalam pada itu, Muhammad Muadz Mohd Fathullah dari SIRAJ Abdullah Ibnu Mas‘ud dinobatkan sebagai Murid Terbaik Lelaki, manakala Ayesha Humairah Mohd Naseem dari SRA Al-Furqan dipilih Murid Terbaik Perempuan.

"Alhamdulillah saya rasa gembira dan bersyukur kerana ini penghargaan yang besar buat saya, ini merupakan hasil daripada sokongan ibu bapa dan guru guru saya yang tidak pernah jemu membimbing saya," murid terbaik lelaki keseluruhan, Muhammad Muadz Mohd Fathullah.

"Saya berasa gembira dan terkejut kerana pada mulanya saya tidak tahu apa-apa. Saya ingat datang ke sini hanya sebagai wakil sahaja. Selalunya, jika ada program, akan diberikan jadual dan kami perlu belajar semua mata pelajaran serta mendengar pelbagai tips dan nasihat daripada ustazah dan ibu bapa," murid terbaik perempuan keseluruhan, Ayesha Humaira Mohd Naseem.

TETITIA YUSOFF