Cahaya Tanglung semarakkan kebersamaan masyarakat Kelantan

Foto RTM

KOTA BHARU, 17 September – Pelbagai lapisan masyarakat daripada pelbagai kaum mengambil kesempatan untuk bersama sama meraikan Pesta Tanglung di Kota Lama, disini malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pesta Tanglung kini diraikan pelbagai kaum, menunjukkan keterbukaan masyarakat Kelantan.
  • Acara menyatukan masyarakat, mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dan patriotik.
  • Kehadiran lebih 500 rakyat pelbagai bangsa membuktikan keharmonian dan kesepaduan kehidupan majmuk di Kelantan.

Cahaya ratusan tanglung menerangi sambutan berkenaan yang turut menjadi platform memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan bersempena Hari Malaysia.

Ketua Wanita Gabungan Persatuan Tionghua Kelantan, Lee Giok Hua berkata, selain meraikan tradisi masyarakat Cina, Pesta Tanglung bukan lagi hanya diraikan kaum tersebut, sebaliknya semakin mendapat penyertaan daripada masyarakat pelbagai kaum.

Katanya, keterbukaan masyarakat Kelantan meraikan perayaan dan budaya kaum lain menunjukkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum dapat diperkukuh menerusi aktiviti sedemikian.

“Sebenarnya, Pesta Tanglung ini asalnya disambut oleh masyarakat Cina, tetapi saya tengok kebelakangan ini, semua orang mula menyambutnya bersama-sama. Sama juga dengan hari raya juga, masyarakat Cina juga turut meraikannya bersama. Sebab percakapan kita pun faham dan kita boleh bergaul dengan baik,” katanya ketika ditemui di pesta berkenaan.

Bagi penduduk, Wan Husna Nazirah Tarmizi, penganjuran Pesta Tanglung seperti ini dapat membantu mengeratkan silaturahim antara kaum selain memupuk semangat perpaduan dan semangat patriotik kepada masyarakat.

“Bagi pandangan saya, program seumpama ini dapat membantu mengeratkan hubungan sesama kaum, selain memupuk semangat patriotik dalam diri kita semua.

“walaupun kita berlainan agama, kita tetap saling menerima dan menghormati pendapat antara satu sama lain kerana kita berada bawah satu bendera iaitu Malaysia,” kata Wan Husna Nazirah.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Persatuan Tionghua Negeri Kelantan, Datuk Oie Poh Choon berkata, lebih 500 rakyat berbilang bangsa hadir dalam sambutan Pesta Tanglung dan Hari Malaysia.

Jumlah itu membuktikan rakyat Kelantan membuktikan rakyat negeri berkenaan berupaya hidup dalam suasana majmuk dan bersatu padu.

“Kehadiran malam ini saya rasa lebih 500 orang. Pandangan saya, malam ini berjaya menunjukkan bahawa masyarakat kita, tidak kira Cina, Melayu, India ataupun Siam, kita semua boleh hidup secara majmuk dan bersatu padu.

Inilah keistimewaan masyarakat Kelantan, yang dapat hidup bersama dalam suasana harmoni tanpa mengira kaum,” kata Datuk Oie Poh Choon.

Sementara itu, ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, kepelbagaian kaum, agama dan budaya perlu dilihat sebagai sumber kekuatan dalam membina sebuah negara yang harmoni dan bersatu padu.

“Kita ingin mempamerkan kepada seluruh Malaysia bahawa kepelbagaian kita bukanlah satu ancaman, malah ia merupakan satu sumber kekuatan dalam usaha kita membina sebuah Malaysia yang harmoni dan bersatu padu.

“Kita dapat lihat malam ini, cahaya tanglung melambangkan satu kesepaduan, dengan cahayanya yang menerangi semua. Begitu juga dengan simbol kuih bulan yang berbentuk bulat, yang menggambarkan kebersamaan, kesatuan dan semangat kekeluargaan dalam kalangan kita,” kata Dr. Hafidzah.

Tambahnya lagi, sambutan Pesta Tanglung yang dianjurkan ini juga sekali gus menjadi ruang untuk masyarakat pelbagai kaum mengenali serta menghargai budaya antara satu sama lain, selaras dengan semangat Hari Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.