KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Cadangan untuk menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) disifatkan tidak wajar, kata Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Datuk Dr. Alias Rameli.
Beliau menjelaskan, setakat ini pihaknya telah melaksanakan lebih 108 sesi libat urus dan perbincangan menyeluruh yang melibatkan badan profesional serta persatuan penduduk di seluruh negara.
“Kita telah mengadakan 108 sesi libat urus melibatkan lebih 5,000 ahli persatuan. Jadi, cadangan untuk menangguhkan bacaan RUU ini adalah kurang wajar. Saya sendiri terlibat bersama tokoh akademik, badan profesional dan persatuan penduduk. Justeru, kita tidak nampak mengapa perlu lagi ada penangguhan bagi sesi-sesi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Parlimen hari ini.
Datuk Dr. Alias mengulas gesaan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang meminta bacaan kedua dan ketiga RUU PSB di Dewan Rakyat pada Khamis ini ditangguhkan sehingga semua isu dan kebimbangan berkaitan diselesaikan sepenuhnya.