fb fb fb fb fb

29 masjid di Kelantan raih penarafan lima bintang

Kolokium Penarafan Masjid 2025 anjuran MAIK / Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 26 Ogos – Sebanyak 29 masjid di Kelantan berjaya meraih penarafan lima bintang sempena Kolokium Penarafan Masjid 2025 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding hanya lima masjid pada tahun 2023.

Majlis perasmian disempurnakan Tengku Temenggong Kelantan merangkap Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz yang turut melancarkan Sistem Penarafan Masjid Malaysia (e-SPMM) dan kempen Sedekah Seriya Sehari.

Tengku Mohamad Rizam dalam kenyataan berkata, penarafan itu berperanan menilai keberkesanan objektif penubuhan masjid, tahap penglibatan masyarakat serta prestasi pengurusan dan pelaksanaan program.

“Keputusan penarafan ini juga dijadikan penanda aras bagi meningkatkan kualiti masjid di seluruh negeri,” titahnya.

Selain itu, Masjid Mukim Sri Mahligai Kuala Krai menerima Anugerah Khas selepas melonjak daripada penarafan satu bintang kepada empat bintang.

Kolokium itu menghimpunkan lebih 800 peserta termasuk tokoh akademik, imam besar dan pegawai masjid dari dalam serta luar negara dengan pengisian forum dan pembentangan kertas kerja berkaitan transformasi pengurusan masjid.

Antara pengisian utama ialah pembentangan kertas kerja oleh Imam Besar Masjid Putra, Dr. Muhamad Zakuwa Rodzali bertajuk Perkembangan dan Transformasi Pengurusan Masjid di Malaysia, selain forum bersama Imam Besar Kelantan, Dr. Muhammad Hana Pizi Abdullah serta Prof. Dr. Mohd Aderi Che Noh.

HASRON BIN HASSAN