fb fb fb fb fb

Ilmu Fekah perlu tajdid hadapi cabaran era AI - Mufti Wilayah Persekutuan

Sistem pendidikan dan kaedah pembelajaran perlu diperkasa agar melahirkan fuqaha / Foto JAKIM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Ilmu Fekah perlu melalui proses pembaharuan (tajdid) bagi mendepani cabaran era teknologi kecerdasan buatan (AI), tegas Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.

Beliau berkata, sistem pendidikan dan kaedah pembelajaran juga perlu diperkasa agar mampu melahirkan fuqaha yang relevan dengan tuntutan semasa, bukan sekadar terikat dengan pemikiran lama.

“Sekarang zaman AI, perubahan sangat pantas. Pendidikan dan pembelajaran Fekah perlu diperkasa agar melahirkan pakar yang mampu mendepani cabaran. Jika tidak, kita bimbang lahir pakar yang masih terikat dengan cara lama. Kita tidak mahu jumud,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri First Forum for Fiqh Scholars 2025 anjuran JAKIM yang menghimpunkan sarjana Fiqh dan tokoh agama dari dalam serta luar negara.

Ahmad Fauwaz menambah, penyampaian Fekah perlu disampaikan dalam dua bentuk iaitu pengajian mendalam untuk melahirkan pakar dan penjelasan lebih ringkas melalui medium moden termasuk media sosial.

Katanya, pendekatan ini penting bagi memastikan masyarakat dapat memahami dan mengamalkan ajaran Islam secara lebih tenang walaupun berdepan cabaran teknologi semasa.

HASRON BIN HASSAN