fb fb fb fb fb

Isu halal perlu diserahkan kepada pihak berautoriti - Dr Zulkifli

Pensijilan halal kerajaan melalui JAKIM adalah antara yang terbaik di dunia / Foto BERNAMA

NILAI, 26 Ogos – Sebarang isu berkaitan halal perlu diserahkan kepada pihak berautoriti untuk ditangani secara teliti, tegas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata, pensijilan halal tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan sensitiviti dan tahap keyakinan yang sangat tinggi dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Saya boleh memberi jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa pensijilan halal kerajaan melalui JAKIM adalah antara yang terbaik di dunia. Namun, dalam masa sama saya menyeru semua pihak agar memastikan kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya,” katanya.

Dr Zulkifli mengulas mengenai rampasan 14,000 paket ayam sejuk beku import dari China yang menggunakan logo halal JAKIM tanpa permit sah.

Rampasan dibuat Jabatan Kastam Diraja Perak dalam pemeriksaan sebuah kontena di Pelabuhan Klang pada 12 Ogos lalu.

Dalam perkembangan lain, seramai 30 ahli Rakan Siswa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dari Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik Nilai menerima watikah pelantikan pada program syarahan dan dialog “Memahami Teras Malaysia Madani”.

Menurutnya, pelantikan itu sebahagian daripada usaha YADIM memperkasa aspirasi Malaysia Madani dengan menekankan nilai ilmu, kesejahteraan serta pembinaan masyarakat berakhlak mulia.

HASRON BIN HASSAN