MUAR, 26 Ogos - Kementerian Kesihatan (KKM) sedang giat menambah kapasiti pakar, pegawai perubatan dan jururawat bagi memastikan Hospital Pasir Gudang (HPG) dapat beroperasi menjelang pertengahan tahun hadapan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha itu penting bagi memenuhi keperluan fasiliti baharu sekali gus memastikan kelancaran perkhidmatan kesihatan selepas dibuka.
“Seperti kita tahu, mana-mana hospital selepas siap dibina akan mengambil masa untuk diisi sepenuhnya. Namun, di Pasir Gudang ini kita memberi tumpuan supaya ia dapat dipenuhi secepat mungkin dengan sedaya upaya kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) hari ini.
Dalam lawatan itu, beliau berkesempatan meninjau kawasan Bangunan Poliklinik (Kaunter Berpusat) yang akan dinaik taraf, khususnya melibatkan sistem pendingin hawa dan fasiliti berkaitan.
"Naiktaraf ini amat penting supaya pesakit yang menunggu rawatan serta petugas kesihatan yang bertugas dapat berada dalam suasana yang lebih selesa, kondusif dan berperikemanusiaan," katanya.
Terdahulu, beliau turut menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, untuk menyatakan komitmen KKM terhadap usaha mempercepatkan pengoperasian Hospital Pasir Gudang.
Lawatan itu juga sebahagian daripada langkah berterusan KKM memastikan fasiliti kesihatan diselenggara serta ditambah baik mengikut keperluan semasa.
Sebelum ini media melaporkan Hospital Pasir Gudang (HPG) sepatutnya beroperasi 1 Ogos secara berperingkat.
Bagaimanapun, pembukaan HPG ditangguhkan ke tahun depan berikutan berlaku beberapa isu teknikal termasuk kekurangan petugas kesihatan, khususnya doktor serta jururawat.