fb fb fb fb fb

Bekas petugas media terima bantuan Tabung Kasih @ HAWANA

Muhammad Azamin (duduk kanan) menerima sumbangan daripada Teo Nie Ching (duduk tengah)/Foto Bernama

RAWANG, 26 Ogos - Nasib bekas petugas media Selangor, Muhammad Azamin Muhammad Amin yang berdepan masalah kesihatan akibat penyakit kencing manis mendapat perhatian Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Muhammad Azamin menerima sumbangan daripada Tabung Kasih @ HAWANA berupa sebuah komputer riba, tiga pasang cermin mata untuk beliau dan ahli keluarganya.

Turut diterima sejumlah bantuan kewangan bagi meringankan beban yang ditanggung.

Sumbangan Tabung Kasih @ HAWANA tersebut disampaikan Teo di kediaman Muhammad Azamin.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.

Teo dalam pada itu berkata, pihaknya mengambil tindakan segera selepas menerima permohonan bantuan daripada Muhammad Azamin, Julai lalu.

"Dalam e-mel tersebut, Muhammad Azamin menjelaskan, beliau merupakan seorang bekas wartawan, sehubungan itu beliau memohon sedikit sokongan atau bantuan daripada Tabung Kasih @ HAWANA yang diuruskan oleh BERNAMA. Setelah saya menerima e-mel tersebut, saya telah mengarahkan pegawai saya untuk membuat sedikit susulan, dan pada hari ini, kami hadir ke sini untuk menyampaikan sumbangan.

"Beliau kini tidak mempunyai pekerjaan tetap, dengan adanya komputer riba, diharapkan beliau dapat melakukan sedikit kerja dari rumah. Sebagai seorang bekas wartawan yang masih berkemampuan untuk bekerja, beliau hanya menghadapi kesukaran untuk keluar rumah disebabkan masalah saraf.

"Bagaimanapun, sekiranya terdapat kerja-kerja yang sesuai seperti penyuntingan, beliau masih mampu melakukannya dari rumah. Jadi, pemberian sebuah komputer riba ini diharapkan dapat membantu beliau menjana pendapatan," katanya selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih @ HAWANA kepada Muhammad Azamin di sini, hari ini.

Teo juga menegaskan komitmennya untuk membantu Muhammad Azamin menyelesaikan isu berkaitan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang masih belum diterimanya selepas diberhentikan kerja akibat penyakit yang dihidapinya.

Muhammad Azamin pernah berkhidmat dalam dunia kewartawanan selama hampir 20 tahun, termasuk 12 tahun di akhbar Harakah sejak tahun 2005 dan juga pernah bertugas di akhbar Warta dan Selangorkini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan sejak penubuhannya pada tahun 2023, Tabung Kasih @ HAWANA telah menyalurkan bantuan berjumlah RM1.39 juta kepada 487 pengamal media dan bekas wartawan di seluruh negara.

Pada tahun ini, seramai 230 pengamal media telah menerima bantuan daripada inisiatif Tabung Kasih @ HAWANA dengan jumlah sumbangan mencecah RM698,000 setakat ini.

ASHRIQ FAHMY AHMAD