KUALA LUMPUR, 21 Disember- Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul bercadang untuk memperkenal semula sidang parlimen bermula pukul 2.00 petang.
Cadangan tersebut bagi menggantikan waktu sidang parlimen yang sebelum ini bermula pukul 10.00 pagi.
Jelasnya, ia bagi memudahkan ahli-ahli parlimen menjalankan urusan pentadbiran kerajaan pada sebelah pagi.
Cadangan itu juga akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sidang Parlimen dijalankan pada sesi petang antara cadangan yang dibawa oleh ahli Parlimen baharu. Sidang akan bermula pada pukul 2.00 petang sehingga selesai. Maka, pada sebelah pagi, ahli Parlimen boleh melaksanakan tugas ataupun ada juga pandangan untuk ditambah bilangan hari, mungkin daripada 70 hari kepada 100 ke 110 hari.
Itu merupakan pandangan dan cadangannya. Insya-Allah jika jawatankuasa sudah diwujudkan esok, saya akan cadangkan untuk dipertimbangkan," kata Johari Abdul dalam sidang media sebelum Majlis beramah mesra bersama petugas media di Pusat Media, Parlimen.
(Foto FB Parlimen Malaysia)
Selain itu, Datuk Johari juga berharap agar perjalanan sidang penggal akan datang berjalan dengan lebih sempurna dan tertib.