fb fb fb fb fb

JAKIM anjur solat hajat, pohon kesejahteraan negara daripada musibah banjir

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Disember- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan solat hajat di tiga masjid utama iaitu Masjid Negara, Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bagi memohon perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan negara daripada musibah banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar menerusi satu kenyataan memaklumkan program tersebut akan diadakan serentak pada esok, 22 Disember selepas solat Maghrib.

Beliau turut menasihati seluruh mangsa banjir di pantai timur dan ahli keluarga agar sentiasa mengambil langkah waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa ketika musibah melanda serta tabah dan sabar dengan ujian itu.

Selain itu, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga akan bekerjasama untuk turut mengadakan solat hajat di masjid-masjid dan surau-surau Wilayah Persekutuan.

Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata solat hajat akan diadakan selepas solat Maghrib pada 22 Disember dan juga selepas solat Jumaat pada 23 Disember.

Tambah beliau, masjid dan surau solat Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan juga telah digerakkan bagi mengadakan kutipan Jumaat serta menghulurkan bantuan dan keperluan bersesuaian melalui Skuad Musaadah agensi-agensi agama untuk disampaikan kepada golongan yang terkesan.


(Foto Hiasan)

 

Media Baharu