KUALA LUMPUR, 1 Julai- Beberapa cadangan polisi baharu berkaitan pelantikan dan penempatan anggota kesihatan melalui program Reformasi Sumber Manusia sedang diperhalusi.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu, cadangan berkenaan antara usaha kementerian menangani isu kekurangan pegawai perubatan di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan di seluruh negara.
“Kami sedang melakukan penyusunan semula untuk perhalusi polisi baharu untuk kita reform sumber manusia bagi (menangani) permasalahan, kerumitan, kekurangan, mild distribution, ketidaktaburan yang baik dalam satu polisi Reformasi Sumber Manusia yang akan kita kaji semula,” katanya dalam soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, KKM turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan bilangan doktor di fasiliti kesihatan KKM termasuk meningkatkan slot latihan siswazah perubatan di KKM daripada 10,835 pada 2013 kepada 12,198 pada tahun ini.
Beliau menjawab soalan Wakil Pekan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali yang ingin tahu nisbah semasa doktor dan pesakit serta usaha agresif dalam menangani kekurangan pegawai perubatan yang kritikal.