fb fb fb fb fb

Cadangan pinda dua akta kanak-kanak disambut baik

SEREMBAN, 10 Januari- Cadangan terhadap pindaan dua akta kanak-kanak yang melibatkan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676) telah mendapat reaksi pihak guaman yang menyambut baik cadangan pindaan tersebut.

Menurut Peguam, Zaflee Pakwanteh, cadangan bagi pindaan itu merupakan perkara yang baik terutama dalam memberi pampasan kepada mangsa dan bantuan pemulihan untuk mangsa dan saksi kanak-kanak.

"Pandangan saya yang banyak menguruskan kes seksual, ia sesuatu perkara yang baik, contohnya sokongan dan cadangan untuk memberikan pampasan kepada mangsa," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Bagaimanapun, beliau berpandangan cadangan pindaan berkaitan penyelarasan umur kanak-kanak kepada 18 tahun bakal membuka peluang kepada segelintir
pihak untuk tujuan menganiaya.

"Bagi saya sesetengah kanak-kanak berusia 16 hingga 18 tahun sensitif kerana zaman mereka berbeza dengan remaja 20 hingga 30 tahun lepas. Banyak kes yang mungkin diada-adakan disebabkan marah dan protes apabila ditegur. Kes sedemikian akan menyusahkan banyak pihak dan membuka peluang untuk menganiaya pihak tertentu seperti guru, ibu bapa, keluarga dan jiran,".


(orang awam yang ditemui memberi reaksi positif berkenaan cadangan
pindaan dua akta kanak-kanak itu)

Dalam pada itu, orang awam yang ditemui memberi reaksi positif berkenaan cadangan pindaan dua akta kanak-kanak itu.

Pekerja swasta, Nur Izzatie Azman berpendapat ia wajar dipinda, lebih-lebih lagi dalam menjaga hak kanak-kanak.

"Kita sedia maklum sekarang ini terlalu banyak isu berkaitan penganiayaan kanak-kanak, jika akta ini diperbaharui ataupun diperketatkan mungkin pelaku akan lebih takut untuk berbuat perkara yang melibatkan kanak-kanak,".

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bercadang untuk meminda dua akta kanak-kanak bagi memastikan keberkesanan sistem pengadilan jenayah dalam mengendalikan kes kesalahan seksual yang melibatkan golongan itu.

Media Baharu