fb fb fb fb fb

Cadangan naikkan OPR untuk perkukuhkan nilai ringgit bukan langkah sesuai - Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 21 Februari - Sebarang cadangan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), bagi memperkukuh nilai ringgit merupakan langkah yang tidak sesuai ketika ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Jelasnya, langkah itu boleh memberi kesan langsung kepada rakyat, malah tidak akan membantu rakyat ketika ini.

"Saya ambil maklum ada sesetengah pihak beri komen, tidak pasti sama ada mahu Bank Negara Malaysia (BNM) naikkan OPR, saya jangka ia tidak bantu rakyat. Perdana Menteri nyatakan perkiraan sekiranya naik OPR kadar bunga bagi Malaysia lebih tinggi tapi kesannya kepada rakyat. Perdana Menteri sangat cakna perkara ini saya rasa itu bukan satu langkah pada waktu ini," kata Fahmi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi di sini bagi mengulas sama ada Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu membincangkan mengenai prestasi semasa ringgit namun Fahmi menjelaskan tiada sebarang perbincangan dibuat mengenainya.

Menurut Fahmi, penjelasan mengenai prestasi ringgit telah diberikan oleh Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour semalam dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan baru-baru ini

Abdul Rasheed dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam berkata BNM berpandangan bahawa paras ringgit pada masa ini tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa akan datang dan prestasi ringgit baru-baru ini sama seperti mata wang serantau lain, dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran.

Selain itu, mengenai peletakan jawatan tiga pengurusan kanan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Fahmi berkata mesyuarat Jemaah Menteri tidak membincangkan mengenainya.

“Perkara ini tidak dibincangkan. Belum lagi...kami menerima pemakluman terkini, apakah statusnya. Tapi saya percaya Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) ada meneliti perkara ini dan sekiranya ada pemakluman nanti, ia akan diumumkan kemudian,” katanya.

Sebelum ini, LTAT menyaksikan peletakan jawatan Ketua Eksekutifnya Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman pada 31 Januari lepas diikuti oleh Pengerusi LTAT Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada 8 Februari dan pada 20 Februari, Pengarah Kanan Strategi LTAT Dayana Rogayah Omar dilaporkan mengemukakan surat peletakan jawatan.

TETITIA YUSOFF