
KUALA LUMPUR, 24 Mac — Cadangan bekerja dari rumah (BDR) wajar dipertimbangkan sebagai langkah penjimatan bahan api dan kos pengangkutan, selari pendekatan beberapa negara jiran termasuk Indonesia dan Myanmar.
- BDR dapat mengurangkan penggunaan bahan api dan kos harian ketika ketidaktentuan harga tenaga.
- Bukan semua pekerjaan sesuai BDR sepenuhnya; pelaksanaan hibrid atau bergilir mengikut kesesuaian sektor.
- Perlu ambil kira kemampuan PKS; manfaatkan teknologi untuk memantau produktiviti dan disiplin pekerja.
Pakar ekonomi, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata pelaksanaan BDR dapat mengurangkan penggunaan bahan api serta kos harian rakyat ketika ketidaktentuan harga tenaga api akibat konflik geopolitik.
Beliau berkata langkah sama turut dilaksanakan di beberapa negara termasuk Filipina, yang menggalakkan sektor awam dan swasta mengamalkan kaedah kerja fleksibel.
“Namun, tidak semua jenis pekerjaan sesuai dilaksanakan sepenuhnya dari rumah, sebaliknya boleh dilaksanakan secara hibrid atau bergilir mengikut kesesuaian sektor,” katanya ketika dihubungi RTM.
Menurutnya, pengalaman Malaysia ketika pandemik COVID-19 boleh dijadikan rujukan dalam mengenal pasti sektor yang sesuai untuk pelaksanaan BDR sama ada secara penuh atau separa.
Dalam masa sama, beliau berkata pelaksanaan dasar itu perlu mengambil kira kemampuan syarikat termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang mungkin berdepan cabaran dari segi pemantauan produktiviti dan disiplin pekerja.
“Teknologi sedia ada boleh dimanfaatkan majikan bagi memantau prestasi pekerja walaupun bekerja dari rumah,” katanya.
Walaupun bekalan bahan api negara masih mencukupi dalam tempoh terdekat, beliau berpandangan langkah penjimatan kekal relevan sebagai strategi jangka sederhana.
Katanya, BDR bukan sahaja mampu mengurangkan kos logistik dan pengangkutan, malah memberi ruang kepada rakyat serta perniagaan mengurus perbelanjaan dengan lebih efisien tanpa menjejaskan aktiviti ekonomi.
“Apa yang penting, segala aktiviti ekonomi perlu diteruskan agar ekonomi negara kekal mampan dan berkembang dengan baik,” katanya.