SEREMBAN, 8 Julai- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang memberi penghargaan kepada individu yang menyalurkan maklumat melalui aplikasi e-Aduan@JPJ.
Langkah itu juga sebagai usaha menggalakkan orang ramai menggunakan medium berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, M. Janagarajan berkata masih ramai tidak mengetahui kewujudan aplikasi tersebut yang dilancarkan April lalu.
"Sejak dilancarkan, lebih 1,000 aduan diterima dan kebanyakan membabitkan kesalahan memotong barisan, menggunakan laluan kecemasan serta melanggar lampu isyarat," katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa mengadakan pemeriksaan di Terminal One, di sini.
(M. Janagarajan)
Menurut M. Janagarajan, melalui aplikasi itu orang ramai hanya perlu memuat naik gambar atau video kesalahan jalan raya yang disaksikan mereka, selain lokasi dan waktu kesalahan.
Ibu pejabat JPJ akan menerima aduan tersebut dan disalurkan kepada negeri terbabit untuk siasatan lanjut sebelum tindakan undang-undang diambil.