fb fb fb fb fb

Bakal jemaah haji terkandas boleh tuntut tebus rugi kepada TTPM

KUALA LUMPUR, 8 Julai- Bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam boleh memajukan tuntutan tebus rugi tidak melebihi RM50,000 kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Dalam satu kenyataan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan ia boleh dilakukan di mana-mana pejabat KPDNHEP setelah laporan polis dibuat.

Sekiranya tuntutan melebihi RM50,000, bakal jemaah haji terbabit boleh memfailkan tuntutan di Mahkamah Sivil.

"Semua tuntutan hendaklah disertai dengan bahan bukti yang lengkap termasuk iklan, resit bayaran, segala transaksi termasuk rekod perhubungan antara bakal haji dengan syarikat agensi haji tersebut.

"Tindakan segera dari bakal haji sangat penting supaya tiada lagi syarikat agensi haji dan umrah sewenang-wenangnya mengambil kesempatan untuk memperdaya atau tidak memenuhi tanggungjawab terhadap bakal haji dan umrah di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

(Seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA semalam/BERNAMA)

Semalam, seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Bakal jemaah haji tersebut dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Susulan itu, KPDNHEP menyeru supaya syarikat agensi haji terbabit mengadakan perbincangan dan berunding dengan segera bersama semua bakal haji yang terkandas supaya jalan penyelesaian murni dapat dicapai demi kepentingan kedua-dua belah pihak terutamanya pengguna.

Tambahnya, sebarang maklumat lanjut berkenaan tuntutan tebus rugi dan TTPM boleh menghubungi hotline TTPM di 1 800 88 9811 atau 03-8882 5822 atau e-mel kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Media Baharu