fb fb fb fb fb

31% kes COVID-19 catat peningkatan, 97.5% kategori satu dan dua - KJ

KUALA LUMPUR, 8 Julai - Peningkatan sebanyak 31% kes COVID-19 iaitu 14,967 kes di seluruh negara bermula 3 sehingga 7 Julai direkodkan, berbanding 11,394 kes untuk tempoh sama minggu lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata 97.5% daripadanya merupakan kategori satu dan dua dan bakinya kategori tiga dan lima.

Jelasnya lagi, jumlah kemasukan pesakitan harian baharu turut meningkat sebanyak 13.7% iaitu 968 pesakit berbanding 835 pesakit minggu lalu.

"Bilangan kemasukan hospital ini masih kebanyakan majoriti adalah kategori satu dan dua iaitu 54% pada minggu ini setakat ini adalah kategori satu dan dua, manakala bagi kategori tiga dan lima adalah 46%, makanya masih lagi amalkan pendekatan untuk kita masukkan golongan berisiko walaupun mereka berada pada kategori satu dan dua," kata beliau dalam sidang media di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan memaklumkan setakat 30 Jun, sebanyak 13 kes sublineage Omicron direkodkan dan dipercayai telah merebak luas di negara ini.

Enam kes daripadanya membabitkan BA.2 12.1, lima kes BA.5, dan dua kes BA.5.2

Jelas Khairy, varian itu menjadi punca kepada peningkatan kes baharu COVID-19 dan akan terus meningkat dalam dua atau tiga bulan lagi.


(Khairy Jamaluddin bercakap dalam sidang media di Bangunan Parlimen)

"Kes-kes ini adalah jujukan jinom yang dibuat ke atas kes-kes positif antara bulan Mei dan Jun, jadi ada kemungkinan besar BA.5 sudah merebak dengan luas di Malaysia, kalau kita lihat 'epidemiology' negara lain, BA.5 lah menjadi sub utama yang memberi kesan peningkatan peringkat global," menurut beliau.

Varian Omicron BA.5 bukan sahaja mudah merebak malah boleh menjangkiti semula individu yang telah dijangkiti dengan varian COVID-19 yang lain.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan sekali lagi menasihatkan orang ramai yang merancang pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidiladha, untuk membuat ujian saringan COVID-19 kendiri terlebih dahulu.

Khairy berkata tindakan itu dapat melindungi golongan berisiko dalam kalangan ahli keluarga sekali gus langkah terbaik mendepani gelombang baharu COVID-19.

"Kita dan juga kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjanji bahawa kita tidak akan lagi buat PKP atau langkah (yang) boleh menjejaskan kesejahteraan ekonomi rakyat, lebih-lebih lagi ekonomi sangat meruncing disebabkan faktor global, ini pesanan sebagai Menteri Kesihatan, langkah-langkah pencegahan semua ada dengan kita," menurut beliau.

Media Baharu