fb fb fb fb fb

BUDI95 bantu mahasiswa atasi tekanan kos sara hidup

Foto Hiasan/Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah memberi impak langsung kepada mahasiswa yang berdepan kos sara hidup semakin mencabar.

Mahasiswa Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Amiruddin Aqil Cik Ayob berkata, inisiatif itu membolehkan mahasiswa merancang kewangan dengan lebih baik.

“Sebagai mahasiswa, dengan adanya BUDI95 kami boleh berjimat dan buat simpanan. Saya sendiri pengguna motosikal, jadi penjimatan walaupun kecil, ia sangat membantu kelangsungan hidup untuk teruskan belajar,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.

0110 REAX MAHASISWA BUDI95 2Amiruddin Aqil Cik Ayob

Beliau turut menasihatkan mahasiswa agar bijak memanfaatkan penjimatan yang diperoleh daripada BUDI95 bagi menguruskan perbelanjaan seharian.

“Bagi kami mahasiswa, bila ada subsidi ini sepatutnya diguna untuk perkara perlu, elakkan pembaziran. Kalau dirancang baik, ia boleh ringankan kos sara hidup sepanjang belajar,” ujarnya.

Sementara itu, mahasiswa undang-undang, Anas Farhan Muhamad Saidi menyifatkan mekanisme BUDI95 dapat mengelakkan ketirisan subsidi kepada warga asing.

“Subsidi ini jelas memanfaatkan rakyat Malaysia sahaja. Dengan adanya pengesahan IC, ia elak ketirisan kepada warga asing, sekali gus memberi keutamaan subsidi kepada warganegara,” katanya.

0110 REAX MAHASISWA BUDI95 3Anas Farhan Muhamad Saidi

Menurutnya lagi, pelaksanaan BUDI95 turut mencerminkan prinsip keadilan sosial kerana manfaatnya dinikmati oleh semua warganegara Malaysia.

“Inisiatif ini memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat manfaat, tidak kira latar belakang. Dari sudut undang-undang ia selari dengan hak rakyat untuk menikmati keadilan sosial,” katanya.

BUDI95 bukan sahaja mengurangkan beban kewangan, malah memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyalurkan lebih banyak perbelanjaan kepada aspek pendidikan, sekali gus mengekalkan fokus terhadap pencapaian akademik tanpa terlalu terbeban dengan kos sara hidup.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN