fb fb fb fb fb

Malaysia dipilih semula sebagai Ahli Majlis ICAO 2025–2028

Foto laman sesawang ICAO

KUALA LUMPUR, 1 Oktober -Malaysia berjaya dipilih semula sebagai Ahli Majlis Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bawah Kategori III bagi penggal 2025 hingga 2028.

Pemilihan itu berlangsung semasa Sesi ke-42 Perhimpunan Agung ICAO di Montreal, Kanada, pada Selasa.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Malaysia memperoleh 154 undi, sekali gus memenangi salah satu daripada 14 kerusi yang dipertandingkan.

"Ini merupakan penggal ketujuh penyertaan Malaysia dalam Majlis ICAO sejak tahun 2007.

Ia mencerminkan keyakinan berterusan masyarakat antarabangsa terhadap peranan negara dalam memperkukuh dan memajukan sektor penerbangan awam global," menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar Negeri turut merakamkan penghargaan kepada semua negara anggota ICAO atas sokongan yang diberikan.

Pada masa sama, menegaskan komitmen teguh Malaysia untuk terus memainkan peranan aktif sebagai ahli yang bertanggungjawab dalam proses membuat keputusan badan dunia itu.

"Tahniah kepada Kementerian Pengangkutan, agensi berkaitan serta semua pemegang taruh atas usaha padu sehingga membolehkan Malaysia dipilih semula," menurut kenyataan itu lagi.

ICAO merupakan agensi khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang dianggotai 193 negara.

Badan itu bertanggungjawab menetapkan dasar, keutamaan serta sasaran strategik dalam penerbangan awam antarabangsa.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN