fb fb fb fb fb

Tiga mangsa terlibat insiden pencemaran bau kimia di Pasir Gudang

Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor

PASIR GUDANG, 1 Oktober -Tiga mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden pencemaran bau kimia di sebuah kilang di Jalan Platinum di sini, malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.11 malam berhubung kejadian itu.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang bersama unit HAZMAT BBP Larkin digerakkan dan tiba di lokasi pada 11.16 malam.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar berlaku insiden pencemaran bau kimia di kawasan kilang berkenaan. Maklumat terperinci berhubung mangsa tidak dapat diperoleh kerana ketiga-tiganya telah dibawa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum pasukan bomba tiba di lokasi," menurut kenyataan itu.

Pasukan HAZMAT melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan menyeluruh di kawasan kilang bagi memastikan tiada lagi risiko pencemaran serta keadaan berada dalam keadaan selamat.

Seramai tiga anggota bersama seorang juruteknik kilang memasuki premis untuk pemeriksaan berkala dengan dilengkapi Peralatan Perlindungan Diri (PPE) penuh, satu unit Gas Mate dan dua unit GFG Gas Detector.

Hasil pemantauan mendapati kepekatan gas hidrogen sulfida berada pada tahap 8.9 ppm.

Selain itu, PKO turut menjalankan kerja ventilasi menggunakan kipas khas milik kilang serta melaksanakan semburan fogging dengan satu aliran salur bantu meliputi keluasan 10 x 10 meter persegi.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.37 pagi selepas bacaan udara di kawasan kejadian kembali normal.

Operasi berkenaan melibatkan 13 anggota JBPM dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan RRV.

TETITIA YUSOFF