PUTRAJAYA, 30 September -Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) melakar sejarah apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 kategori Sokongan Kehidupan Sihat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyifatkan, kemenangan tersebut pastinya menjadi sumber inspirasi buat semua dalam memartabatkan pendidikan negara.
Menurut beliau, kejayaan itu lebih bermakna kerana ia didorong inovasi aplikasi mudah alih HELPIE.
Ia merupakan hasil ciptaan warga sekolah berkenaan yang memberi impak besar terhadap usaha meningkatkan kesihatan mental murid.
“Aplikasi ini hadir pada saat kritikal ketika negara memberi tumpuan kepada isu kesihatan mental.
Ia menggunakan pendekatan gamifikasi serta fungsi 'chat' yang menjadikannya menyeronokkan, interaktif dan memudahkan akses kepada bimbingan serta kaunseling,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan itu termasuk murid, guru dan ibu bapa.
Usaha berkenaan telah berjaya mewujudkan ekosistem pendidikan yang cemerlang di sekolah berkenaan.
"Sebelum ini sudah beberapa kali sekolah Malaysia berjaya diiktiraf sebagai finalis Anugerah Sekolah Terbaik Dunia.
Namun, kali ini lebih istimewa apabila buat pertama kali kita berjaya memenanginya sekali gus menempa sejarah baharu untuk negara," ujarnya lagi.
Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang dianjurkan oleh T4 Education sejak 2022 merupakan antara pengiktirafan pendidikan paling berprestij di dunia.
Ia menghargai sekolah berimpak tinggi dalam lima kategori utama iaitu Kerjasama Komuniti, Tindakan Alam Sekitar, Inovasi, Ketahanan Menghadapi Cabaran, serta Sokongan Kehidupan Sihat.