fb fb fb fb fb

Kuala Lumpur-Ankara bincang potensi tingkat import minyak sawit Malaysia

ANKARA, 8 Julai- Kuala Lumpur dan Ankara membincangkan potensi untuk republik itu meningkatkan import minyak sawit Malaysia.

Pada masa sama, menjadikan Turkiye hab pembuatan produk berasaskan sawit untuk pasara benua Eropah dan Asia Tengah.

Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada Turkiye kerana membeli minyak sawit daripada Malaysia dan menjadi pengimport ketiga terbesar selepas India dan China.

"Saya pun minta supaya meneruskan import minyak sawit ini dan juga kalau boleh menambahkan lagi, sebab seperti kita tahu mereka juga terkesan daripada mengimport minyak-minyak lain seperti minyak masak Matahari yang diimport dari Ukraine kalau tidak silap saya, jadi mungkin dengan masalah tersebut mereka boleh menambahkan import minyak kelapa sawit," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasmi empat hari ke republik itu.

(Ismail Sabri bercakap pada sidang media bersama wartawan Malaysia
bagi memaklumkan hasil lawatan kerja rasmi empat hari ke Turkiye/BERNAMA)

Turkiye adalah rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat selepas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam pada itu, kedua-dua negara mencapai persefahaman perluasan skop Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA).

Ia meliputi bidang pelaburan, perkhidmatan dan e-dagang, sebagai tambahan kepada perdagangan yang merupakan skop asal MTFTA.

Setakat ini, 95% kemajuan telah dicapai dan perluasan skop MTFTA akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Perluasan skopnya juga akan membuka peluang pelaburan berimpak tinggi dari Turkiye ke Malaysia yang akan mencipta peluang pekerjaan baharu.

Media Baharu