fb fb fb fb fb

Penggantian percuma dokumen pengenalan diri yang hilang, rosak akibat banjir - Hamzah

(Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin melawat tapak rumah penduduk Kampung Iboi,
Abd Rahman Said, 71, (kanan) yang kehilangan tiga ahli keluarga akibat kejadian banjir dan
fenomena kepala air pada Isnin lepas/ Foto BERNAMA)

BALING, 8 Julai - Penduduk terjejas banjir di Kampung Iboi, Kupang, di sini,yang mengalami kerosakan atau kehilangan dokumen pengenalan diri sama ada kad pengenalan, sijil kelahiran dan pasport akibat kejadian itu akan diberikan penggantian percuma oleh agensi berkaitan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata segala kos dan perbelanjaan untuk penggantian itu adalah dikecualikan.

"Hari ini kita mulakan buat pendaftaran semula IC (kad pengenalan) dan sijil lahir, apa saja sijil dari Jabatan Pendaftaran Negara, apa yang mereka perlukan dari Jabatan Pendaftaran Negara, ianya bermula hari ini segala perbelanjaan itu kita kecualikan tidak ada kos kepada mereka, begitu juga dengan Jabatan Imigresen, sekiranya ada passport mereka yang hilang atau pun tidak boleh digunakan lagi (akibat) banjir, mereka boleh pergi ke Jabatan Imigresen untuk mendapatkan passport yang baharu secara percuma," kata beliau selepas menziarahi penduduk terjejas
banjir yang ditempatkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai dan meninjau kawasan banjir di Kampung Iboi, Kupang, di sini.


(Datuk Seri Hamzah Zainudin mendengar penerangan daripada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul
Azeez Abdul Rahim ketika mengadakan lawatan ke tapak jambatan runtuh akibat kejadian banjir dan
fenomena kepala air di Kupang, Baling pada Isnin lepas/ Foto BERNAMA)

Dalam lawatan yang sama, beliau menasihatkan penduduk berhampiran Sungai Kupang, supaya tinggal di penempatan lain atau PPS buat sementara waktu.

Langkah itu bagi mengelak sebarang risiko kejadian sama berulang susulan Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca hujan dan ribut petir di daerah itu dalam tempoh terdekat.

Isnin lepas, kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku menyebabkan hampir 805 buah rumah rosak di 12 kampung dan turut mengorbankan nyawa tiga sekeluarga.

Media Baharu