KANGAR, 9 Julai -Seramai 80 peserta mewakili lapan buah sekolah menengah dan 10 buah sekolah rendah di seluruh Perlis menyertai Cabaran Pengekodan, salah satu pertandingan bagi menguji kemahiran dalam dunia pengaturcaraan dan robotik.
Program tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk mencungkil bakat muda dalam bidang teknologi, malah memupuk minat, kreativiti dan daya saing sihat dalam kalangan pelajar sekolah.
Pengarah Eksekutif Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin dalam kenyataannya memaklumkan, Cabaran Pengekodan itu merupakan kesinambungan kepada aktiviti Kecerdasan Buatan dan Pendidikan Robotik (AiREd) dan Junior AiREd.
Ia bertujuan untuk mengenal pasti murid-murid terbaik bagi mewakili Negeri Perlis serta Malaysia ke pertandingan RoboCup Malaysia Open 2025.
Selain itu, program berkenaan turut memberi pendedahan awal kepada format sebenar pertandingan, di samping mengasah kemahiran dalam bidang robotik, pengaturcaraan dan kecerdasan buatan (AI), selaras dengan aspirasi Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) negara.
Keperluan kemahiran digital yang semakin mendesak memerlukan pendedahan awal kepada pelajar dalam bidang pengaturcaraan dan penyelesaian masalah, di mana Cabaran Pengekodan 2025 menjadi platform terbaik untuk mengasah kemahiran tersebut secara praktikal dan kompetitif.
Pemilihan peserta ke RoboCup Malaysia Open 2025 memerlukan satu proses saringan yang objektif dan berasaskan prestasi sebenar dan menerusi pertandingan tersebut membolehkan FCoEE mengenal pasti pelajar yang benar-benar bersedia dan berpotensi.
Cabaran pengekodan bagi sekolah rendah dan menengah berlangsung selama dua hari bermula hari ini di sebuah hotel di Kangar, bagi memilih peserta ke RoboCup Malaysia Open 2025 yang akan berlangsung pada 14 hingga 18 Ogos 2025 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Program dianjurkan FCoEE dan MAIPs dengan kerjasama strategik daripada UniMAP dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.