fb fb fb fb fb

ASEAN perlu selaras dasar luar, ekonomi lebih padu

Datuk Seri Anwar Ibrahim tegaskan ASEAN perlu bergerak seiring dalam menghadapi ketegangan geopolitik dan perdagangan yang semakin meningkat - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Julai - Menteri-menteri luar dan ekonomi ASEAN perlu bergerak seiring dalam menghadapi ketegangan geopolitik dan perdagangan yang semakin meningkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN perlu memastikan penyelarasan lebih padu antara dasar luar dan ekonominya bagi menterjemah hasil yang nyata.

"Kita mesti membina tabiat penyelarasan yang sepadan dengan realiti kita hadapi. Ketika mengharungi tekanan luaran, kita perlu menguatkan asas dalaman. Berdagang dan melabur lebih banyak antara satu sama lain, serta memajukan integrasi merentas sektor dengan tekad.

"Untuk membina ekonomi ASEAN yang lebih kukuh dan lebih terhubung, ini adalah satu keperluan strategik yang akan menjadi tonggak kepada kerelevanan dan daya tahan kita untuk beberapa dekad akan datang," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM ke-58), hari ini.

Datuk Seri Anwar turut memberi amaran bahawa alat yang secara tradisinya digunakan untuk menggalakkan pertumbuhan, termasuk perdagangan dan pelaburan, kini semakin digunakan untuk memberikan tekanan politik dan memecahkan kerjasama global.

Menurutnya, kuasa sentiasa mempengaruhi perdagangan, tetapi pada hari ini, kuasa semakin mentakrifkan perdagangan, dengan peningkatan tarif, sekatan eksport dan halangan pelaburan menjadi instrumen persaingan geopolitik.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK