KUALA LUMPUR, 9 Julai -ASEAN diseru untuk terus memperjuangkan isu kemanusian, kewarasan dan keadilan dalam landskap antarabangsa, di tengah-tengah ketegangan geopolitik global dan cabaran iklim yang tidak menentu.
Seruan itu disampaikan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan pembukaan bersempena dengan Sesi Plenari Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menurut beliau, dunia kini menyaksikan perubahan struktur kuasa global yang menuntut ASEAN untuk terus menyesuaikan diri secara strategik dan kolektif.
“Dua perkara amat diperlukan pada masa ini, pandangan jauh dan strategi. Kita tidak boleh sekadar melangkah tanpa hala tuju. Kita mesti merancang jalan dan menyediakan instrumen yang diperlukan,” tegasnya.
Beliau turut menekankan pelaksanaan ASEAN Community Vision 2045, sebuah pelan jangka panjang yang telah dipersetujui oleh para pemimpin serantau dua bulan lalu, sebagai panduan utama ke arah pembinaan komuniti ASEAN yang lebih inklusif, mampan dan berpandangan ke hadapan.
“Masa depan kita tidak boleh dibentuk oleh kuasa luar. Ia mesti ditentukan oleh tekad kolektif kita sendiri,” ujar beliau.
Dalam menyentuh isu serantau dan global, Datuk Seri Mohamad turut meluahkan kebimbangan terhadap perubahan iklim yang disifatkan sebagai ancaman paling mendesak.
Selain konflik berterusan yang menggugat kestabilan sejagat, termasuk perang di Ukraine, keganasan Israel di Gaza, serangan ke atas Iran, serta krisis berpanjangan di Myanmar.
“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya kekejaman yang dilakukan oleh Israel, dan kami menyeru semua pihak, khususnya Majlis Pentadbiran Negeri (SAC), agar berkomitmen terhadap keamanan serta mewujudkan suasana kondusif untuk pilihan raya seperti yang dihasratkan oleh rakyat Myanmar,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, beliau mengingatkan bahawa dalam dunia yang semakin berpecah dan dipengaruhi fahaman unilateralisme dan nasionalisme, kekuatan sebenar ASEAN terletak pada perpaduan dan sentraliti serantau.
“ASEAN mesti menjadi suar harapan, suara kewarasan dan kekal sebagai platform kerjasama dan kemakmuran. Kita perlu terus percaya pada nilai serantau dan komitmen bersama untuk keamanan dan kemajuan,” ujar beliau penuh yakin.