fb fb fb fb fb

Buruh binaan maut digilis lori, polis cari saksi kejadian

(Buruh binaan warga Indonesia maut digilis sebuah lori dalam kemalangan di Lebuhraya Sprint menghala ke Damansara pada Sabtu/
FB Polis Daerah Petaling Jaya)

 PETALING JAYA, 15 Januari- Polis meminta mana-mana individu yang menyaksikan kemalangan maut membabitkan seorang buruh binaan digilis sebuah lori setelah motosikal yang ditunggangnya terbabas di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) menghala ke Damansara dekat sini pada Sabtu, agar tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 5.17 petang.

Menurutnya, siasatan dijalankan mendapati mangsa yang merupakan warga Indonesia dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Subang menuju ke rumahnya yang terletak di Batu Caves.

"Mangsa merupakan seorang lelaki berumur 36 tahun itu menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda 110 sebelum hilang kawalan lalu mengakibatkan mangsa terjatuh.

"Sebuah lori yang datang dari arah belakang mangsa gagal mengelak lalu menggilis mangsa," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan dijalankan turut mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu. Mayat mangsa di bawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Individu yang melihat atau berada di tempat kejadian dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Petaling Jaya Inspektor R.Navalana di talian 014-2536820," tambahnya.

(Polis mohon saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan
FB Polis Daerah Petaling Jaya)

Media Baharu