fb fb fb fb fb

Bukukan aliran silat, elak pupus ditelan zaman

TEMERLOH, 1 Februari- Persatuan Silat Negeri Pahang (PESAKA Pahang) digesa mendokumentasikan semua aliran silat di negeri itu bagi mengelak seni pertahanan diri tersebut pupus ditelan zaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, ia susulan terdapat beberapa aliran silat popular di Pahang telah hilang tanpa jejak.

Tegas beliau, aliran silat berkenaan pupus selepas guru utama meninggal dunia dan tiada usaha pihak tertentu meneruskan legasinya.

"Saya telah mencadangkan supaya pengerusi PESAKA Pahang untuk bukukan semua jenis silat yang ada di negeri ini kerana kalau tidak, ia akan ditelan zaman apabila guru tersebut telah tiada, maka silat berkenaan tidak ada lagi, tidak wujud.

Jadi, sebab tu kita harap supaya ia dapat dibukukan dan diterbitkan di bawah Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah," katanya ketika merasmikan Kejuaraan Silat Olahraga Jemputan Kebangsaan 2021 Kali ke-3 di Dewan One Touch Futsal Lurah Semantan, di sini.

Tambah beliau, pusat kajian tersebut yang bernaung di bawah Perbadanan Muzium Pahang, mengalu-alukan apa sahaja bahan berunsur sejarah, budaya dan ketamadunan Pahang untuk dijadikan tatapan generasi baharu.

Menurutnya, buku yang ditulis dengan ilustrasi menarik boleh diterbitkan bagi menarik minat masyarakat.

Mengulas mengenai Kejuaraan Silat Olahraga Jemputan Kebangsaan 2021, beliau memaklumkan, seramai 700 penyertaan diterima membabitkan pesilat, jurulatih dan urus setia daripada 67 perguruan silat bertanding dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga hari sehingga Rabu.

Media Baharu