Buku warisan keluarga Munshi Abdullah diabadikan dalam edisi Bahasa Melayu

Datuk Siti Saleha Sheikh Abu Bakar

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Warisan sasterawan agung Melayu, Munshi Abdullah, terus diperkasakan menerusi pelancaran buku ‘Munshi Abdullah: Memperingati Suatu Legasi’, edisi Bahasa Melayu yang menghimpunkan sejarah tujuh generasi keturunannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Buku edisi Bahasa Melayu karya Datuk Siti Saleha, kesinambungan edisi bahasa Inggeris 2019.
  • Dicetak 600 naskhah untuk dihadiahkan kepada sekolah dan perpustakaan, terutama di Johor dan Melaka.
  • Menelusuri tujuh generasi keluarga bermula dengan Sheikh Abdul Kadir Al-Uthmani dari Hadhramaut; mengangkat pengaruh Munshi Abdullah dalam kesusasteraan.
  • Bertujuan memastikan generasi muda memahami nilai khidmat, tanggungjawab dan pengorbanan serta menghargai legasi dan sumbangan terdahulu.

Buku hasil penulisan bekas hakim, Datuk Siti Saleha Sheikh Abu Bakar yang juga merupakan pewaris legasi keluarga Munshi Abdullah, merupakan kesinambungan kepada edisi bahasa Inggeris berjudul ‘A Legacy Remembered’ yang diterbitkan pada tahun 2019.

“Sudah tentu buku ini perlu diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu supaya dapat dibaca oleh lebih ramai masyarakat. Yang lebih penting, generasi muda dapat mengenali Munshi Abdullah serta memahami legasi yang ditinggalkannya.

“Saya rasa penting untuk orang muda mengetahui sejarah dan asal-usul keluarga kita supaya mereka lebih menghargai warisan generasi terdahulu.

“Sehingga kini saya telah mencetak 600 naskhah buku ini. Saya bercadang menghadiahkannya kepada sekolah dan perpustakaan, terutama di Johor dan Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran buku ‘Munshi Abdullah: Memperingati Suatu Legasi’, edisi Bahasa Melayu di ibu negara.

Majlis pelancaran buku tersebut disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam.

Buku tersebut menelusuri salasilah keluarga Datuk Siti Saleha merangkumi tujuh generasi, bermula dengan Sheikh Abdul Kadir Al-Uthmani yang berhijrah dari Hadhramaut pada abad ke-16, sebelum mengisahkan perjalanan hidup Munshi Abdullah dan keturunannya yang banyak menyumbang kepada pembangunan negeri Johor serta negara.

Melalui penyelidikan teliti dan catatan sejarah keluarga, buku berkenaan mengangkat pengaruh Munshi Abdullah dalam perkembangan kesusasteraan Melayu.

Selain mengetengahkan tradisi khidmat bakti, pendidikan dan perkhidmatan awam yang berkembang sejak pemerintahan Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim Johor ia turut mengiktiraf Melaka sebagai tempat kelahiran Munshi Abdullah.

Menurut Datuk Siti Saleha, penerbitan buku berkenaan bertujuan memastikan generasi muda lebih memahami nilai khidmat, tanggungjawab dan pengorbanan yang menjadi asas kepada kehidupan generasi terdahulu, sekali gus menghargai legasi yang ditinggalkan.

Datuk Siti Saleha memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Awam Johor pada tahun 1967 sebelum menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Malaysia.

Beliau bersara pada tahun 2009 selepas lebih tiga dekad berkhidmat, selain menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Johan Setia Mahkota (JSM) dan Panglima Mahkota Wilayah (PMW).

Penulisan beliau memberi tumpuan kepada pemeliharaan sejarah keluarga, warisan kesusasteraan Melayu serta sumbangan tokoh-tokoh terdahulu kepada negeri dan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.