fb fb fb fb fb

“Buku Panduan Pempengaruh” rujukan kandungan selamat - CMCF

Foto hiasan/Bernama

CYBERJAYA, 7 Februari –Bagi memastikan penciptaan kandungan yang bertanggungjawab dan memupuk persekitaran dalam talian lebih selamat, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, (CMCF) selaku pengawal selia kendiri bebas sedang membangunkan “Buku Panduan Pempengaruh” dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk para pempengaruh dan Key Opinion Leaders (KOL).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood buku panduan itu akan menjadi garis panduan ringkas sebagai rujukan mudah bagi pempengaruh mendapatkan penjelasan dan pemahaman terhadap peraturan yang termaktub dalam Kod Kandungan.

“Melalui penglibatan aktif pempengaruh dalam pembikinan buku panduan ini, kami berazam untuk menerbitkan satu sumber rujukan yang selari dengan keperluan mereka dan memudahkan pematuhan terhadap garis panduan beretika”, kata Mediha menerusi kenyataan.

Tambahnya, pada separuh kedua tahun ini, CMCF akan turut melancarkan Request for Commment (RFC) (Permohonan Ulasan) daripada pempengaruh untuk memastikan pandangan mereka menjadi teras dalam penghasilan dokumen yang komprehensif dan mudah difahami kelak.

“Dalam membuat dasar, tunggak falsafah kami ialah keterlibatan pelbagai pihak yang berkepentingan. Kami percaya bahawa mereka yang terkesan dengan polisi harus mempunyai suara dalam pembikinannya.

“Justeru, kami membuka pintu seluas-luasnya kepada pempengaruh dan pemegang taruh untuk menyertai CMCF dalam menyumbang buah fikiran dalam perbincangan dasar dan termaklum dengan amalan terbaik,” menurut kenyataan sama.

Sebelum ini Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menggesa pempengaruh untuk mengamalkan kawal selia kendiri dan menerbitkan kandungan secara bertanggungjawab.

Menurut Mediha, saranan itu amat baik selaras kepentingan untuk menerapkan amalan beretika dan berhemah dalam menghasilkan sebarang kandungan.

“Sebagai pendukung kuat pengawalseliaan kendiri, CMCF menyokong penuh gesaan menteri agar pempengaruh memikul tanggungjawab sendiri dalam mencipta kandungan yang menarik dan dalam masa yang sama bertanggungjawab dan beretika,” kata Mediha.

Pengawalseliaan kendiri adalah tunjang utama di CMCF dan selari dengan keadaan semasa di seluruh dunia di mana industri dan komuniti diberi kepercayaan dan diperkasakan untuk mengawal selia amalan masing-masing berdasarkan piawaian ditetapkan.

“Dengan Kod Kandungan sebagai tonggak, kami melaksanakan mekanisme akauntabiliti yang mantap, melibatkan Biro Aduan, bagi memastikan pemain industri patuh pada dasar yang telah dipersetujui dan ditetapkan,” jelas Mediha.  

Berkenaan kenyataan menteri yang menggesa ibu bapa untuk memantau kandungan media sosial yang terdedah kepada anak-anak mereka, CMCF giat menumpukan tenaga dalam menggalakkan literasi digital dan kelakuan berhemat dalam talian, terutamanya kandungan berkaitan kanak-kanak.

Ke arah itu CMCF mahu kesedaran dan pemerkasaan ibu bapa dalam melindungi kanak-kanak daripada kandungan yang berisiko, seterusnya menggalakkan perbincangan bersama kanak-kanak dengan nada yang sesuai dengan usia mereka untuk meningkatkan kesedaran tentang kandungan berbahaya dan memastikan mereka selamat di alam maya.

“Untuk memperkukuh Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian di Malaysia, kami menyarankan usahasama antara semua pihak bagi pembangunan rangka kerja yang lengkap dan pelan tindakan kebangsaan yang merangkumi tindakan undang-undang, kempen kesedaran dan kerjasama dengan syarikat teknologi.

Kami percaya bahawa pendekatan melibatkan pemegang taruh yang pelbagai termasuklah ibu bapa, pendidik dan kanak-kanak adalah mustahak dalam mencipta rangka kerja yang terangkum dan berkesan,” tambah Mediha.

MAT YUNUS BIN SABRI