fb fb fb fb fb

Cuaca panas tidak jejaskan penanaman padi di kawasan Muda

Foto Hiasan / Foto RTM

ALOR SETAR, 7 Februari - Musim panas dan kering yang melanda di Kedah ketika ini tidak memberi kesan terhadap tanaman padi terutamanya di Kawasan Muda.

Bagaimanapun pihak MADA sentiasa berada dalam keadaan siap siaga sekiranya keadaan El-Nino ini berlarutan sepertimana ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

MADA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihak MADA mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan tindakan segera dengan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menghadapi musim cuaca kering.

Tindakan tersebut dilakukan bagi menjimatkan air dari empangan serta menjalankan operasi membekalkan air pengairan secara penggiliran mengikut keperluan aktiviti persawahan di setiap wilayah berdasarkan fasa tanaman sehingga aktiviti musim 2/2023 selesai sepenuhnya.

MADA turut menasihati para peladang agar menguruskan air di peringkat sawah secara berhemah bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan mengelakkan pembaziran.

“Berdasarkan laporan tinjauan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia mendapati Fenomena El-Nino atau cuaca kering yang sedang berlaku diramal berlarutan sehingga Jun 2024.

"Jumlah turunan hujan di kawasan Muda merekodkan bacaan lebih rendah iaitu 12mm berbanding purata turunan hujan 20 tahun iaitu 47mm.

"Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak akan menjejaskan aktiviti tanaman padi Musim 2/2023 yang dijangka selesai pada penghujung Mac 2024”, kata MADA dalam kenyataan.

Tambah MADA, jumlah takungan ketiga-tiga empangan berada pada paras selesa dan mencukupi bagi menampung keperluan keperluan sumber air pengairan untuk aktiviti tanaman padi Musim 2/2023 di Kawasan Muda iaitu kapasiti takungan Empangan Pedu adalah sebanyak 640,250 ekar kaki bersamaan 73.17%, Empangan Muda sebanyak 103,800 ekar kaki bersamaan 83.04% dan Empangan Ahning sebanyak 211,789 ekar kaki bersamaan 94.97%.

Jumlah takungan ketiga-tiga empangan adalah sebanyak 955,839 ekar kaki bersamaan 78.16%.

Kata MADA lagi, prestasi kemajuan tanaman padi Musim 2/2023 sehingga hari ini telah mencatatkan aktiviti tanam mencapai 99.3% melibatkan kawasan seluas 100,011 hektar.

Manakala peringkat berbunga sebanyak 66.8% dengan keluasan 67,211 hektar, masak sebanyak 21.7% dengan keluasan 21,850 hektar dan sebanyak 5.6% seluas 5,590 hektar padi telah dituai di Kawasan Muda.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD