SHAH ALAM, 4 Disember- Buku Sumbangsih Seorang Primadona: Dari Sungai Geringging ke Kota London diulang cetak ke Bahasa Inggeris.
Sambutan luar jangka terhadap karya pelakon veteren, Datuk Rosnani Jamil itu menarik perhatian penerbit tempatan untuk dipasarkan ke luar negara.
"Saya didatangani tiga beradik yang berminat untuk menerbitkan semula karya saya ke Bahasa Inggeris dan mahu menempatkannya di perpustakaan luar negara.
Mereka percaya dengan keunikan buku ini dan saya amat teruja menantikan hasilnya," jelas Datuk Rosnani yang lebih mesra dengan panggilan Mak Nani.
(Datuk Rosnani Jamil, Pelakon)
Karya asal versi Bahasa Melayu diterbitkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada 2018 itu turut menerima pengiktirafan daripada Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.
Ia menceritakan pengalaman peribadi Datuk Rosnani Jamil sebelum bergelar anak seni sehingga beliau berjaya menerbitkan filem dan menyambung pengajian di London.
"Saya berharap buku ini memberi banyak pedoman khususnya kepada golongan wanita bahawa tiada apa yang mustahil dalam kehidupan.
Kita perlu sentiasa mencari ilmu dan pengalaman tanpa mengira jantina dan jangan pernah menjadikannya ia sebagai alasan untuk mencapai sesuatu," tambahnya.
'The Life and Times of a Malay Primadona' diterjemahkan oleh ahli akademik, Prof. Dr. Habibah Ashari dan bakal dilancarkan secara rasmi pada Mac 2023.