(Siaran akhbar Polis KL)
KUALA LUMPUR, 4 Disember- Polis menafikan tindakan anggotanya memeriksa empat lelaki tempatan di tepi jalan Jalan Cenderuh, Taman Bamboo, Jinjang di sini, malam tadi membabitkan unsur perkauman.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pemeriksaan itu adalah tugas yang perlu dijalankan sekiranya pihak polis mengesan sebarang kenderaan atau individu dalam keadaan mencurigakan.
"Seramai lima anggota polis dari Balai Polis Jinjang melakukan rondaan jenayah telah ternampak empat lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan, kira-kira pukul 10.30 malam.
"Apabila melihat ketibaan polis, mereka dengan segera memasuki kereta masing-masing," katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, polis tidak menemui sebarang kesalahan daripada pemeriksaan yang dijalankan dan mereka dibenarkan beredar dari lokasi.
Beliau berkata ketika pemeriksaan, seorang lelaki meminta anggota polis bercakap dengan peguamnya bagi tujuan pengesahan dan pihak polis menjelaskan tujuan pemeriksaan itu dijalankan.
Tegas Eng Lai, pemeriksaan ke atas individu atau kenderaan yang mencurigakan adalah tugas utama polis bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terjamin.
Dalam perkembangan berkaitan, Eng Lai berkata, satu siasatan turut dijalankan sebaik tersebar satu perkongsian di media sosial berkaitan kejadian itu dan mengaitkannya dengan isu perkauman.
"Terkesan satu ciapan di Twitter oleh seorang individu yang memuat naik tangkap layar aduannya kepada Ketua Polis Negara, kira-kira jam 11.20 malam tadi.
"Pengadu tidak berpuas hati kerana diperiksa secara rambang oleh lima lelaki yang memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis di kawasan terbabit," katanya
Menurut beliau, pihak polis sentiasa berhemah dan bersikap adil dalam melaksanakan tugas pencegahan jenayah dengan tidak mengamalkan sebarang unsur perkauman.
"Pihak Polis Kuala Lumpur menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.
(Foto FB Polis KL)