KUALA LUMPUR, 18 Disember - Lebih 106,000 pemandu e-hailing layak menerima kuota subsidi petrol RON95 antara 600 hingga 800 liter sebulan di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi bulan Disember.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia berdasarkan data jarak perjalanan sebenar yang direkodkan Syarikat Pengendali e-hailing (EHO).
"Jarak perjalanan bulanan setiap pemandu e-hailing akan ditentukan berdasarkan penggabungan data perjalanan daripada semua EHO, selain pengesahan data oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak.
"Hanya pemandu warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu, lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) serta permit e-hailing yang sah akan dipertimbangkan," katanya ketika menjawab soalan Senator Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam di Dewan Negara.
Tambah Datuk Seri Amir Hamzah, bagi mengekang ketirisan, EHO diwajibkan mengemukakan rekod perjalanan bulanan yang tepat, lengkap dan sahih kepada APAD dan LPKP pada setiap awal bulan.
Pemandu yang gagal mencapai jarak perjalanan minimum yang ditetapkan, secara automatik tidak akan menerima kelayakan tambahan subsidi.
Manakala tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap pemandu atau EHO yang didapati mengemukakan maklumat palsu atau meragukan.