fb fb fb fb fb

Bangunan dua tingkat di Kulim Golf terbakar, 40 'buggy' musnah

Kulim Golf and Country Resort terbakar

KULIM, 18 Disember - Sebuah bangunan dua tingkat musnah teruk dalam satu kejadian kebakaran di Kulim Golf and Country Resort di sini, malam Rabu.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 8.19 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech tiba di lokasi kira-kira enam minit kemudian.
 
Kebakaran melibatkan sebuah bangunan kelas A berkeluasan 40 meter × 70 meter, dengan api marak di bahagian pejabat serta stor di tingkat bawah.
 
"Tingkat bawah yang digunakan sebagai stor simpanan kenderaan golf (buggy) mengalami kemusnahan hampir 90 peratus, manakala ruang pejabat di tingkat atas dianggarkan terbakar sekitar 80 peratus," katanya.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan kebakaran tersebut juga mengakibatkan sebanyak 40 buah buggy dilaporkan.

Operasi pemadaman melibatkan 29 anggota bomba dibantu 37 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta sokongan jentera dari BBP Kulim dan BBP Penanti.

Bantuan tanker dari Pulau Pinang turut digerakkan berikutan tekanan air yang tidak mencukupi. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 9.39 malam sebelum kerja-kerja baik pulih dan pengudaraan dijalankan akibat asap tebal di dalam bangunan.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.36 pagi, manakala, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN