fb fb fb fb fb

Budak cedera ditolak ke bucu kerusi kini bawah jagaan nenek

Mangsa berusia empat tahun luka di bahagian kening sebelah kanan susulan kejadian itu/RTM

KANGAR, 12 Februari- Seorang kanak-kanak perempuan yang cedera selepas ditolak ibunya hingga terhantuk pada bucu kerusi baru-baru ini, kini dalam jagaan neneknya selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan hak penjagaan sementara.

Nenek kanak-kanak itu berkata dia akan menguruskan keperluan mangsa serta adik mangsa dan memastikan kebajikan mereka terpelihara.

"Terima kasih kepada semua pihak yang hadir dan membantu cucu saya. Saya akan menjaga mereka berdua di Jerlun, Kedah. Kakaknya (mangsa) juga akan memulakan persekolahan di tadika berhampiran Jerlun," katanya.

Bagi meringankan beban keluarga, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyampaikan sumbangan peribadi berupa bakul makanan, beg sekolah, barang mainan serta wang tunai kepada kanak-kanak terbabit.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pegawai Khas Menteri Pendidikan Abu Saman Mat Karim di kediaman mangsa di Kampung Jejawi di sini hari ini.

Majlis penyerahan sumbangan turut dihadiri Pengarah JKM Perlis Ku Chik Ku Mat Esa dan Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin.

Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang wanita yang didakwa memukul dan mencederakan anaknya di koridor hadapan sebuah pasar raya di Jejawi di sini pada Isnin lalu.

Susulan kejadian itu, suspek yang bekerja sebagai pekerja kantin berusia 37 tahun telah ditahan polis dan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, manakala mangsa berusia empat tahun luka di bahagian kening sebelah kanan dan sudah pun menerima rawatan.

1202 KGR SUMBANGAN MENTERI 2
Nenek mangsa (baju merah) mendapat hak penjagaan sementara cucu-cucunya oleh JKM/RTM

SITI AISHAH MD ISA