fb fb fb fb fb

Bot karam: Enam lagi ditemukan lemas, seorang selamat

PONTIAN, 18 Januari - Susulan bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI), karam di kedudukan 0.3 barat daya Pontian Besar, Johor.

Enam daripada tujuh yang hilang sebelum ini ditemukan telah meninggal dunia.

Manakala seorang wanita ditemukan selamat, bagaimanapun dalam keadaaan kritikal.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM) Johor, Laksamana Pertama MARITIM Nurul Hizam Zakaria berkata, wanita berkenaan telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

Hasil siasatan, kesemua PATI berumur 25 hingga 35 tahun, menaiki bot gentian dari Pulau Jaloh, Batam, Indonesia, dipercayai menuju ke Api Api, Pontian, malam tadi.

Pagi tadi, bot nelayan berjaya menyelamatkan 6 daripada mereka, manakala 7 dilaporkan hilang, sebelum Operasi Carilamat diaktifkan.

"Mangsa yang masih hidup diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut, dan mangsa mangsa yang lain telah pun diserahkan kepada hospital", katanya lagi.

Siasatan awal mendapati, bot dinaiki 13 penumpang itu, dipukul ombak kuat, dan karam kira-kira 11 malam semalam.

Dua tekong lelaki berumur 30 ditahan dan akan direman pagi esok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen.

Operasi Carilamat ditamatkan pukul 3:45 petang tadi.

Media Baharu