fb fb fb fb fb

Susulan 44 pelajar positif COVID-19, 256 kontak rapat dikesan dan sedang jalani kuarantin

KOTA BAHRU, 18 Januari - 44 pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lil-Banat, dikesan positif COVID-19 semalam. Manakala 256 kontak rapat telah dikenal pasti setakat ini.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, ke semua kontak rapat diarah menjalani kuarantin dan dinasihatkan menjalani saringan sekiranya mengalami gejala.

Jelas beliau, "kluster yang membabitkan pelajar asrama sekolah itu diisytihar pada Jumaat lalu, sebagai Kluster Embi Telipot."

Susulan itu, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu mencadangkan proses pengajaran dan pembelajaran bersemuka sekolah itu ditangguhkan sehingga 25 Januari depan.

Beliau turut menafikan dakwaan kes berpunca daripada seorang pelajar yang mana ibu bapanya baharu pulang dari menunaikan umrah dan disahkan dijangkiti varian Omicron.

Dr Zaini berkata, dakwaan itu tidak benar kerana pihaknya belum mendapatkan keputusan sampel yang diambil daripada ibu bapa pelajar tersebut.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kes.

Media Baharu