fb fb fb fb fb

Bomba usung mayat remaja lemas di Sg Lata sejauh 2 km

Mayat mangsa diusung menggunakan pengusung sejauh 2 kilometer sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut/Foto Bomba

KUALA KRAI, 7 September – Seorang remaja ditemukan lemas di Sungai Kampung Lata Pauh di sini, tengah hari tadi.

Mangsa dikenali sebagai Mohamad Azri Aiman Rosli, 15, merupakan pelajar sebuah sekolah agama dari Kampung Pemberian, Kuala Krai.

Menurut Komander Operasi Kanan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Pegawai Bomba Kanan (PBK II) Mohd Razani Mamat, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada pukul 1.16 tengah hari.

"Mangsa dilaporkan tergelincir ketika mandi di kawasan tersebut bersama rakan-rakannya sebelum lemas.

"Mangsa tidak tahu berenang dan berada dalam air selama lebih 15 minit sebelum ditemui oleh orang awam.

"Kami segera bergegas ke lokasi kejadian bersama tujuh anggota, namun setibanya di sana, mangsa telah dibawa ke daratan oleh orang awam dan didapati tidak sedarkan diri.

"Disebabkan lokasi yang sukar diakses, kami menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan berjalan kaki sejauh 2 kilometer melalui laluan berbatu untuk sampai ke lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, mayat mangsa diusung menggunakan pengusung sejauh 2 kilometer sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Mayat remaja berkenaan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan pada 3.30 petang.

Mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kampung Pahi untuk proses bedah siasat.

Pihak bomba menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika berada di kawasan air terjun atau sungai, terutamanya jika tidak pandai berenang.

GRACE AISYAH KEDAYAN