fb fb fb fb fb

Bomba negeri Kedah siap sedia hadapi banjir dijangka Oktober ini

Kursus Asas Pengendalian dan Pengujian Bot JBPM Negeri Kedah di Alor Setar

ALOR SETAR, 22 Ogos – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir yang dijangka bermula pada bulan Oktober ini.

Antara inisiatif awal termasuk penyerahan 10 unit bot kepada pasukan Bomba Komuniti di kawasan-kawasan yang sering terjejas akibat bencana banjir.

Bot berkenaan merupakan sebahagian daripada 150 bot lengkap dengan aksesori bernilai RM1.8 juta yang diperoleh melalui peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Rolling Plan Ketiga 2023 (RP3) untuk seluruh negara.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba (PKPjB) Awang Hidzel Awang Bujang, berkata penyerahan bot tersebut adalah langkah persediaan awal bagi memastikan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan.

“Sebanyak 114 kawasan di 12 daerah di Kedah telah dikenal pasti sebagai lokasi berisiko banjir.

Selain bot yang dilengkapi enjin dan peralatan penyelamat, ahli Pasukan Bomba Komuniti juga turut dilatih dalam kaedah pengendalian bot dan penyelamatan awal sebelum pegawai serta anggota bomba tiba di lokasi,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti serta Kursus Asas Pengendalian dan Pengujian Bot JBPM Negeri Kedah di Sungai Kedah, di sini.

Beliau memaklumkan, ketika ini JBPM Kedah memiliki 26 bot aluminium, sebuah bot Kevlar, serta beberapa kelengkapan lain yang mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Selain itu, pegawai dan anggota bomba sentiasa berada dalam keadaan siap siaga, termasuk dengan pembekuan cuti yang akan dilaksanakan bergantung kepada tahap situasi bencana semasa.

Pada masa ini, JBPM Kedah mempunyai seramai 769 pegawai bomba tetap, 163 pegawai bomba bantuan, 880 ahli Pasukan Bomba Sukarela, dan 1,019 ahli Pasukan Bomba Komuniti, yang bersedia digerakkan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.

HASRON BIN HASSAN