fb fb fb fb fb

Bomba kenal pasti 4,795 lokasi risiko banjir seluruh negara

(FOTO HIASAN)

JOHOR BAHRU, 13 Disember - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti 4,795 kawasan berisiko banjir menjelang musim tengkujuh akhir tahun ini melibatkan kesemua negeri, khususnya negeri-negeri pantai Timur.

Daripada jumlah itu, Sarawak merupakan negeri dengan lokasi banjir tertinggi iaitu 1,034 lokasi, diikuti Kelantan 595 lokasi, Pahang 554 lokasi, Sabah 520 lokasi dan Johor 432 lokasi.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata pihaknya turut mengenal pasti 186 lokasi panas kejadian kepala air dan 254 cerun kritikal.

(Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid)

"Pasukan kita sekarang ini sentiasa ada di pangkalan hadapan untuk memastikan kesiapsiagaan daripada aset dan juga tenaga manusia bagi memberi bantuan pemindahan.

“Sehubungan itu, kita menasihati orang ramai khususnya penduduk di kawasan yang berisiko banjir untuk sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang boleh berlaku seperti banjir kilat dan lain-lain,” katanya.

Mohammad Hamdan berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2001) Zon Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada), di sini.

Tambah Hamdan, pihaknya turut menyeru orang ramai termasuk pihak berkuasa tempatan untuk menghentikan sementara aktiviti rekreasi khususnya di kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti gunung, bukit, sungai, jeram dan pantai.

“Kita faham cuti hujung tahun ini, pasti ramai keluarga sedang merancang aktiviti percutian terbaik riadah di kawasan-kawasan tertentu, namun kita berharap aktiviti tersebut dapatlah dihentikan seketika sementara dalam tempoh berjaga-jaga ini.

“Kawasan berisiko berlaku fenomena kepala air, ombak besar dan juga banjir kilat khususnya perlu diberikan perhatian dan persediaan lebih dalam memastikan tiada sebab insiden tidak diingini berlaku dalam tempoh ini,” katanya.

Media Baharu