ALOR SETAR, 29 Jun - 12 mangsa termasuk bayi berusia setahun enam bulan yang terperangkap selepas rumah mereka di Taman Sri Taman, di sini, terbakar, petang semalam.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 5.54 petang.
Menurutnya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan Jalan Raja telah ke lokasi kejadian dan tiba tidak lama kemudian.
"Berdasarkan maklumat, terdapat 18 orang terdiri daripada tiga dewasa berusia antara 20 hingga 58 tahun dan 15 kanak-kanak serta bayi berusia antara setahun enam bulan hingga 12 tahun dalam rumah itu.
"Enam daripadanya iaitu kanak-kanak berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam dan bakinya, 12 lagi berjaya diselamatkan pasukan bomba," katanya.
(Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron bersama
pegawai bomba di tempat kejadian/ Foto Bomba Kedah)
Mengulas lanjut, Syufaat berkata, seorang daripada mangsa diselamatkan pihaknya ketika sedang berlindung dalam bilik air di rumah berkenaan.
"Kita pecahkan bilik air berkenaan daripada tingkap kecil di bahagian belakang (rumah) kerana bahagian depan api sedang marak dan akhirnya berjaya keluarkan mangsa. Kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB)," katanya.
Siasatan lanjut masih dilakukan pasukan Forensik JBPM Kedah untuk mengetahui punca dan anggaran kerugian.
Kesemua 12 mangsa terbabit mengalami sesak nafas, lesu dan ada yang melecur.
"Rumah itu musnah 90 peratus selain tiga motosikal turut terbakar dalam insiden itu, dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 8.15 malam" katanya.
Untuk rekod, rumah dua tingkat itu disewakan pendakwah bebas, Ebit Liew pada tahun 2020 kepada keluarga Allahyarham Pak Aq atau Ishak Darus selepas dipindahkan dari rumah mereka yang daif sebelum ini.