(FOTO FAIL)
SEREMBAN, 28 Jun - Tiket bagi Tren Ekspres Khas Keluarga Malaysia (EKKM) bagi perjalanan dari KL Sentral ke Tumpat yang bermula 8 Julai depan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha telah habis dijual.
Menurut Pengurus Perkhidmatan Jabatan Antara Bandar, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Siti Harina Ayu Ali Akbar, sempena sambutan Aidiladha pada tahun ini, KTMB sekali lagi memperkenal EKKM ke Pantai Timur berikutan sambutan yang menggalakkan daripada pengguna yang pulang ke kampung menggunakan perkhidmatan tersebut semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri lalu.
Sebanyak 1,032 tiket pergi dan balik ditawarkan untuk tren khas tersebut dengan perkhidmatan koc katil, koc tempat duduk premier dan superior.
"Perjalanan tiket-tiket ni daripada 8 Julai telah habis pun dijual namun tren yang dari Tumpat ke Kuala Lumpur pada 12 Julai masih banyak lagi jadi rancang perjalanan balik anda ke bandaraya dengan melayari kita punya tiket online atau pun boleh ke kaunter untuk mendapatan tiket-tiket anda," kata beliau.
(Pengurus Perkhidmatan Jabatan Antara Bandar KTMB, Siti Harina Ayu Ali Akbar)
Tren tersebut juga dilengkapi koc bufet yang menawarkan ruang makan serta koc chillax yang menyediakan ruang untuk aktiviti solat dan santai bersama keluarga.
Tiket EKKM mula dijual pada 15 Jun lalu bagi perjalanan pada 8 Julai dan 12 Julai depan dengan menawarkan harga tiket bermula RM55 sehingga RM83.
Tren EKMM akan berlepas pada 8 Julai pukul 11.00 malam dari KL Sentral dan akan berhenti di 16 stesen iaitu Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bahru dan Tumpat.
Perkhidmatan tersebut dijangka tiba di Stesen Tumpat pada 9 Julai pukul 3.53 petang manakala perjalanan balik dari Stesen Tumpat adalah pada 12 Julai pukul 10.50 malam dan akan tiba di Stesen KL Sentral pada 13 Julai pukul 3.04 petang.