PUTRAJAYA, 15 Mei- Barisan Nasional (BN) bersikap terbuka untuk mengadakan rundingan serta perbincangan dengan mana-mana parti politik di Sabah dalam usaha membentuk sebuah gabungan besar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun pembentukan rasmi gabungan itu masih belum dimuktamadkan, kerjasama strategik antara parti pusat dan negeri perlu diberi keutamaan.
"Kita sedang meneroka beberapa kemungkinan. Saya pernah sebut tentang konsep BN-PH+++. Kita tidak terhad kepada satu atau dua gabungan sahaja.
Hakikatnya, mana-mana parti politik di peringkat pusat wajib bekerjasama dengan parti atau gabungan politik di Sabah. Kombinasi pusat dan negeri perlu disantuni dengan penuh hikmah,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2024, di Putrajaya hari ini.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut mendedahkan beberapa siri perbincangan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga telah diadakan sebagai langkah awal ke arah kerjasama lebih menyeluruh.